Skip to main content

ISLAM AND DEPRESI (MALAY VERSION)

Islam dan Depresi

            Pada Julai 2017, dunia hiburan dikejutkan dengan kematian salah seorang daripada penyanyi kumpulan Linkin Park, Chester Bennington akibat penyakit depresi yang telah lama membarah di dalam dirinya. Sejak berita kematiannya terpapar di dada akhbar mahupun di kaca televisyen, masyarakat mula peka dengan isu kesihatan mental. Apa itu depresi dan sejauh mana depresi boleh mengakibatkan kematian? Mengupas isu depresi, saya berasa amat tertarik untuk berbincang tentangnya dan sanggup membuka mata pena supaya tersentuhnya kesedaran kesihatan mental dalam setiap jiwa-jiwa insan yang membaca. Lagi kasap dan teguh intisari penulisan kali ini ditulis dengan warna-warni pengalaman saya dalam menelusuri landskap kehidupan. Tujuan utama lahirnya karangan ini adalah untuk menyuarakan bahawa depresi adalah salah satu ujian Allah kepada hambaNya dengan lemahnya keadaan mental, kemudian, Islam sebagai penghalang keinginan membunuh diri (suicide) dan akhir sekali, saya akan membincangkan cabaran-cabaran dalam menangani depresi.

            Depresi merupakan antara ujian Allah kepada hamba-hambaNya bagi menguji tahap keimanan mereka. Perkara ini selari dengan firman Allah dalam surah Al-Ankabuut: 2, maksudnya:

             “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?”

            Ayat ini jelas memperkatakan bahawa setiap manusia yang beriman itu pasti diuji. Ujian kehidupan boleh wujud dalam pelbagai bentuk sama ada kesakitan fizikal, mental, kelaparan, kerisauan dan lain-lain.  Banyak pandangan dan kata-kata sinis yang dilontarkan di medan perbahasan mahu pun di dunia nyata atau di dunia maya tentang kesihatan mental. Ada juga yang melontar pandangan cetek mereka dengan berkata bahawa sakit mental merupakan hukuman Allah rentetan daripada kelemahan iman, kurangnya tautan hati yang kuat pada Tuhannya atau andaian bahawa depresi itu sengaja dibuat-buat. Berdasarkan kajian Imam Ar-Razi, depresi juga merupakan antara salah satu penyakit klinikal, yakni ia berlaku akibat perubahan dalam sistem saraf manusia.  Tidak lupa juga, para psikologis menempelak golongan-golongan ini dengan mengeluarkan kenyataan bahawa paras kesakitan mental adalah separa dengan kecederaan fizikal dan memerlukan rawatan lanjut seperti penyakit fizikal yang lain. Berdasarkan daripada luahan-luahan mereka yang telah berjaya membebaskan diri daripada belenggu depresi, senjata yang paling utuh adalah sentiasa meminta kekuatan agar Allah menyembuhkan keadaan mereka. Malah, perisai-perisai rohani dipasakkan lagi dengan menambah baik amalan fardhu, banyakkan berzikir, solat sunat dan mendekatkan diri kepada Allah di sepertiga malam.
        Sterusnya, Islam sebagai penghalang keinginan untuk membunuh diri. Depresi sangat berkait rapat dengan keinginan untuk membunuh diri atau mencederakan diri sendiri.  Kebanyakkan mereka yang menghidap depresi mempunyai kitaran pemikiran yang negatif, tidak mampu mentafsir setiap peristiwa yang berlaku dalam hidup mereka dengan tanggapan yang positif dan bergelumang dengan emosi yang sangat ekstrem seperti terlalu sedih, sangat sensitif dan berfikir keterlaluan (overthinking). Cara hidup dan pemikiran negatif sebegini berkisar pada kitaran yang sama menyebabkan perasaan gembira tidak mampu terbit walau sekelumit pun di dalam minda dan jiwa mereka bahkan yang hadir adalah keinginan untuk menamatkan kehidupan yang terbeban di bahu. Namun begitu, kebanyakkan daripada pesakit-pesakit depresi mengaku adanya perasaan takut akan azab yang dijanjikan Allah di akhirat kelak membuatkan pelaksanaan untuk membunuh diri terbantut. Azab yang dijanjikan adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad (SAW):
            Dari Abu Hurairah RA, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang bunuh diri dengan menggantung diri, dia akan menggantung diri di neraka. Orang yang menikam dirinya (dengan senjata tajam) maka dia akan menikam dirinya di neraka. Dan orang yang bunuh diri dengan menerjunkan diri dari tempat yang tinggi, maka dia akan menerjunkan diri di neraka”. [HR. Bukhari]
            Hadis ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan membunuh diri adalah haram di sisi agama Islam. Sepedih mana pun pengalaman manusia dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang berduri dan tersungkur tatkala melintasi akar kefanaan dan kezaliman dunia, Allah mengharamkan membunuh diri untuk menghentikan kesakitan emosi atau fizikal yang dirasakan kerana Islam datang ke dunia sebagai harapan untuk manusia. Islam datang ke dunia sebagai peluang yang tiada penghujungnya melainkan maut yang memisahkan. Selagi mana nyawa dikandung badan, harapan untuk sembuh dan membuka lembaran kehidupan yang baharu sentiasa terbentang luas bersama-sama rahmat Allah yang ditiup kepada mereka yang bersabar.  Pasti ada jalan yang Allah bukakan sedikit demi sedikit untuk mereka yang diberikan ujian.
            Selain itu, cabaran-cabaran dalam menangani depresi menjadi semakin menebal malah diperkukuh dengan budaya persekitaran dan persepsi yang negatif terhadap kesihatan mental. Tidak dinafikan, masyarakat kita tidak cakna tentang isu kesihatan mental. Petikan dari akhbar Utusan melaporkan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 menunjukkan lebih kurang 4.2 juta rakyat Malaysia yang berusia 16 tahun ke atas, atau 29.2 peratus populasi negara, menghidapi pelbagai masalah mental. Sebut sahaja tentang ‘mental’, yang terbit di layar minda adalah ‘gila’. Bukan setakat itu sahaja, mereka yang terjatuh ke dalam lembah kesakitan mental dituduh dirasuk makhluk-makhluk halus dan dibiarkan tanpa rawatan. Kanak-kanak dan remaja juga tidak terkecuali daripada penyakit mental.  Golongan seperti mereka inilah sewajarnya diberikan perhatian kerana fasa perkembangan personaliti sedang aktif dan kebanyakkannya kekal membentuk karakter individu. Meruntunkan hati apabila ibu bapa menuduh mereka hanya mengadakan-adakan penyakit depresi walaupun sudah mendapat pengesahan daripada pakar. Apabila pesakit merujuk keadaan mereka kepada kaunselor atau psikologis, mereka dikatakan lemah dan tidak bijak menyelesaikan masalah. Masyarakat cuba mengambil langkah selamat dengan tidak membawa mereka yang mempunyai penyakit mental berjumpa dengan pakar atas alasan penyakit tidak serius dan mahu lari daripada pandangan serong masyarakat terhadap keluarga mereka.
Allah berfirman di dalam Surah Saad, ayat 26:
            “...maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah...”
            Berdasarkan ayat di atas, dapat kita simpulkan bahawa solusi sebenar dalam menyelesaikan masalah adalah dengan berlaku adil kepada manusia yakni membawa pesakit-pesakit mental seperti depresi, skizofrenia, autisma dan lain-lain kepada pakar supaya diberikan rawatan secepat mungkin dan tidak dilengah-lengahkan dengan alasan yang bersulamkan ego untuk mengelakkan keadaan menjadi semakin teruk. Kepentingan berlaku adil kepada mereka yang menghidap depresi dengan memberikan rawatan secepat mungkin adalah kerana tidak mustahil Allah meletakkan harapan dan peluang kepada mereka untuk sembuh dan kembali sihat selepas ikhtiar rawatan.
            Kesimpulannya, Islam telah menggariskan ujian Allah SWT tidak hanya wujud dalam keadaan kekurangan fizikal, kekurangan bekalan keperluan asasi seperti kelaparan malah wujud juga dalam bentuk mental dan emosi. Ujian yang membebankan mental dan emosi boleh mengakibatkan depresi dan lahirnya keinginan untuk membunuh diri supaya kesengsaraan di dada dapat dihentikan dengan segera. Ketika inilah, masyarakat perlu memainkan peranan dengan memberikan sokongan emosi dan moral kepada pesakit-pesakit ini. Agama Islam menggalakkan hamba-hambaNya supaya membantu antara satu sama lain kerana dengan membantu, ia mampu membuka segala pintu harapan kepada mereka yang memerlukan. Oleh itu, Islam dan Harapan sifatnya bersepadu. Tidak boleh dipisahkan dan besar implikasinya.


           

                


               

Comments

Popular posts from this blog

Review Buku: Hiatus oleh Budak Tomato

    HIATUS OLEH BUDAK TOMATO Ini antara buku favourite aku yang mana end up aku menjadi agak ‘gila’ dan terumbang-ambing dengan emosi yang sememangnya tak stabil. Yang pasti buku ini adalah among novel bestseller bukan fiksyen 2017 selain Arkitek Jalanan oleh Teme Abdullah. Aku tahu buku Arkitek Jalanan itu bestseller novel bukan fiksyen tapi aku tak baca lagi. Haha. Oh ya, lupa nak cakap. Hiatus adalah novel fiksyen islamik berketebalan 300+ muka surat, tak lebih 400 muka surat. Sebab apa aku suka: 1. Cara penulisan penulis ringkas sahaja. Tak berbunga-bunga yang akhirnya kembang mekar apabila cukup musimnya tapi cukuplah menyampaikan apa sebenarnya yang dia nak sampaikan.  2. Jalan cerita dan monolog atau naratif serba BANYAK emosi. Maksud aku, dia berjaya meletak pembaca pada posisi si watak. Penulis tak cerita tapi dia ‘tunjukkan’ kepada pembaca. Let the reader imagine and play with the emotion. Weiii. 3. Oh ya dalam cerita ini, watak utama yang di

Review Buku: Laki Aku Negro, Kau Peduli Apa? oleh Dr. Hayya Bilal

Laki Aku Negro, Kau Peduli Apa? oleh Dr. Hayya Bilal Rating saya bagi 4.8/5 bintang. Buku ini adalah sequel pertama untuk buku Afrika, Aku Mai Lagi. Hakikatnya, saya tahu kewujudan buku yang kedua terlebih dahulu berbanding yang pertama. Pertama, buku ini memang best. Best dari segi isinya yang sarat dengan isu-isu kemanusiaan, budaya, korupsi pemimpin, pengurusan sumber bumi yang tidak terancang, ketiadaan dana pendidikan yang diperuntuk oleh kerajaan dan lain-lain. Bahasanya juga tidak terlalu kaku atau formal, membuatkan saya senang untuk membaca dan turut ketawa dengan humor yang dibawa oleh penulis. Perkara yang saya paling ingat apabila membaca buku ini ialah pandangan cetek atau serong masyarakat apabila orang kita mahu berkahwin atau telah berkahwin dengan seseorang yang berkulit gelap.   Saya mula rasa warna kulit itu sepertinya menunjukkan status seseorang. Kalau orang kita berkulit gelap pun jadi isu. Apatah lagi, berkahwin dengan seseorang dari benu

Move On: Senang tak?

Move on, guys? SEBELUM DITERUSKAN LAGI DENGAN LEBIH MENDALAM, SUKA CITANYA NAK LETAK DISCLAIMER ATAU PESANAN-PESANAN RINGKAS: 1.   Apa yang tertulis selepas ini tak ada kaitan untuk berbalah bahawa bercinta selepas kahwin lebih baik, bercinta sebelum kahwin atau kalau kita jaga mata, tak ada masa untuk jatuh cinta seterusnya tiadalah move on. 2. Move On dalam halaman ini lebih kepada alam sebuah fasa perasaan dan naluri. Hahaha. Jangan naluri songsang sudahlah. Move on: Senang tak? Senang kot kalau daripada awal lagi kau memang tak ada apa-apa perasaan kat dia. Contohnya, kau suka dia sebab dia kaya? Bila dia bankrup, effort untuk move on tak payah sembanglah.  Antara lelaki dan perempuan, mana lagi mudah nak move on? Sama saja. Lelaki ke perempuan, sama sahaja kadarnya. Jenis-jenis Move On Pertama, move on selepas breakup bercinta. Kedua, move on daripada perasaan sendiri yang jatuh cinta dengan orang lain tanpa ada sebarang perhubungan di antara dua insa